Monday, June 2, 2008

Kewajipan Menegur

Ramai orang mengatakan belum cukup ilmu apabila ditanyakan mengapa tidak menegur orang yang berbuat salah. Tidak kurang juga yang mengatakan diri sendiri belum baik, mengapa perlu menegur orang lain. Bahkan ada juga yang mengatakan perlu apa menjaga tepi kain orang, tak perlu jadi 'busy body'. Adakah kita semakin menjadi manusia yang individualistik? Amat mementingkan diri sendiri? Dan banyak lagi alasan lain untuk tidak menegur.Barangkali sifat merendah diri atau memikirkan kelemahan dan kekurangan diri menjadikan kita tidak yakin dan akhirnya meninggalkan usaha mengajak kebaikan.

Persepsi Diri Yang Salah

Ada di antara kita yang memandang zaman ini menegur orang biarlah kepada mereka yang ber'authoriti'. Serahkan sahaja pada pak imam, AJK kerohanian, ustaz atau ustazah dan sebagainya. Ada yang berpendapat untuk menegur orang lain diri perlu menjadi maksum seperti Nabi Muhammad SAW. Tidak kurang juga ramai yang takut kerana khuatir terjejasnya pengaruh, populariti dan keseronokan pergaulan sedangkan sebagai umat Islam keredhaan ALLAH itu adalah matlamat dan mengatasi segala-galanya.

Kewajipan Nasihat Menasihati Bukanlah Untuk Orang Tertentu

Sudilah memberi teguran yang baik dan berhikmah, kerana tanpanya manusia akan selalu terbabas. Fitrah manusia yang selalu lupa dan terburu-buru, seringkali diruntun oleh gelodak nafsu. Berbanggalah diri sebagai seorang Islam, menjadikan kita ini sebahagian dari masyarakat yang membentuk manusia dari dalam dan luar. Jika berdiam sahaja melihat buasnya dunia melalaikan manusia, alamat kita sendiri sedang menuju kehancuran. Terlalu mengharapkan orang lain kadangkala hanya meninggalkan harapan sahaja. Allah memberitahu di dalam Al Quran yang bererti, “Hendaklah ada sebahagian dari golongan yang menyeru kepada kebaikan dan melarang kepada kemungkaran. Mereka itulah orang yang Berjaya”. (Surah Ali Imran : 104)

Kita adalah umat yang terbaik yang lahir dari kelompok manusia wajib untuk mengajak kepada kebajikan dan mencegah kemungkaran. Hukumnya sudah menjadi wajib pada masa kini kerana golongan yang menegur itu semakin mengecil jumlahnya. Menasihati bukan satu cara sahaja. Seorang muslim yang hebat mempunyai daya pemikiran yang kreatif tidak akan putus-putus untuk mengajak manusia kepada kebaikan. Ada daya dengan tangan, maka penyampaian nasihat melalui tulisan atau lukisan.

Menyentuh hati kadangkala lebih berjaya dengan diri dan keperibadian kita sendiri. Lantaran itulah Islam menekankan konsep keperibadian dan akhlak yang mulia. Islam itu adalah menyeluruh dan tidak terhad setakat ibadat solat lima waktu di masjid dan surau semata-mata. Tetapi, penerapan dan aplikasi perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian dalam pelbagai cabang dan ruang lingkup. Dengan ini akan lahirlah keseimbangan(Tawazun) antara ibadat yang dikerjakan dan kesan pengibadatan tersebut yang dizahirkan melalui akhlak dan peribadi kita.

ALLAH melihat usaha kita

Pastinya, Allah melihat natijah kepada usaha kita yang sentiasa menyeru kepada kebaikan. Kepekaan dan sensitiviti kita terhadap perkara mungkar walaupun kita berhadapan dengan suasana yang seperti menghalalkan perkara tersebut tetapi hukum Islam kekal mengharamkannya. Maka, marilah nasihat-menasihati sesama kita kerana tiada kerugian dalam melaksanakan amar ma'ruf dan nahi munkar.

Oleh,
muis

No comments: