Dipetik dari HarakahDaily.Net
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh) - Hadis-hadis palsu seringkali digunapakai dalam amalan segelintir umat Islam yang perlu diperbetulkan malah wajar dibanteras penggunaan hadis tersebut dalam menghuraikan ajaran agama oleh segelintir individu yang tidak bertanggungjawab menjadi lebih berleluasa.
Sebagai renungan beberapa contoh yang disebarkan yang wajar dikaji semula adalah membaca al-Quran ketika ziarah kubur yang bersandarkan kepada satu hadis iaitu:"Barang siapa berziarah ke kuburan kedua-dua oran tua atau salah satu di antara mereka pada hari Jumaat dan membacakan surah Yasin, maka dia akan diampuni dosanya dan dihitung sebagai kebaikan."
Hadis sebegini telah dijadikan dalil untuk menjustifikasikan amalan membaca al-Quran di kubur, kononnya amalan itu adalah suatu sunah yang diamalkan oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat r.a.
Sedangkan ia merupakan sebuah hadis palsu yang mana kepalsuannya telah ditegaskan oleh para ulama hadis seperti Ibn Adiyy dalam Al-Kamil Fi Ducafa' Ar-Rijal, Az-Zahabi dalam Mizan Al-Ictidal Fi Naqd ar-Rijal, As-Suyuti dalam Al-Lali' Al-Masnu'ah Fi Al-Ahadith Al-Maudu'ah, seperti yang dipetik daripada Utusan Online.
Satu lagi hadis palsu berkaitan membaca al-Quran di kubur ialah yang bermaksud, "Barang siapa yang berziarah di kuburan, kemudian dia membaca al Fatihah, Qul Huwallahu Ahad dan al-Hakumut Takasur, lalu ia berdoa: "Ya Allah, kuhadiahkan pahala pembacaan firman-Mu pada kaum mukminin penghuni kubur ini, maka mereka akan menjadi penolong baginya (pemberi syafaat) pada hari kiamat".
"Saya telah cuba setakat terdaya menyemak sumber dan status hadis ini sama ada dalam kitab-kitab yang mengumpul hadis sahih atau yang mengumpul hadis daif dan palsu, tetapi gagal menemuinya," kata seorang pensyarah Dr. Azwira Abdul Aziz dari Jabatan Pengajian Al-Quran & As-Sunnah, Universiti Kebangsaan Malaysia.
"Tiada sesiapa pun yang menghukum amalan ziarah kubur sambil memberi salam kepada penghuni kubur serta berdoa dan beristighfar untuk mereka sebagai amalan bidaah. Kerana amalan sedemikian memang disunahkan oleh Nabi s.a.w. melalui nas-nas yang sahih.
"Berbeza dengan amalan ziarah kubur sambil membaca al-Quran di atasnya, di mana jumhur ulama memang melihatnya sebagai bidaah, kerana beberapa alasan ilmiah," katanya dan tambahnya kerana tidak ada nas sahih yang menyokong amalan membaca al-Quran di kubur. Semua hadis berkenaan amalan tersebut tiada asal usulnya (palsu) sebagaimana yang ditegaskan oleh Al-Albani dalam Ahkam Al-Janaiz Wa Bida'iha, katanya. - mks.
No comments:
Post a Comment