Sunday, October 14, 2007

Handphone Yang Mempunyai Ayat-Ayat Suci

(petikan dari http://www.al-ahkam.net)

ASSALAMU'ALAIKUM.,

Saya ingin meminta pendapat Ustaz disini. Handphone sekarang ni bukan macam dahulu.Handphone sekarang boleh menyiarkan profil grafik,logo operator dan juga ikon bergambar.Hari ini pula syarikat telekomunikasi wayarles telah banyak memperkenalkan profil grafik,logo operator dan juga ikon bergambar bercorakkan Islam seperti ada paparan Bismillah , Allahuakbar dan bermacam lagi paparan yg agak menarik.Kita kerap kali membawa handphone kita kemana sahaja kita pergi.Ini termasuk ketandas juga apabila diluar.Apa pendapat Ustaz tentang hal ini?Kita semua tahu yg ayat suci Al-Quran bukanlah boleh sewenangnya diletakkan dimana sahaja.Inikan pula paparan didalam handphone tersebut ayat seperti Bismillah dan Allahuakbar ,kemudian ada yg masuk kedlm tandas bersama handphone tersebut.Ada juga yg meletakkan handphone didlm saku belakang(bahagian punggung) dan paparan yg saya katakan seperti diatas masih aktif.Apa pendapat Al- Fadhil Ustaz dalam hal ini?


Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin, para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.

Terima Kasih di atas soalan saudara Mutakalim itu, semoga saudara diberkati oleh Allah Ta’ala di atas keperihatinan saudara terhadap permasalahan-permasalahan Islam.

Setelah meneliti soalan saudara itu , maka , alhamdulillah inilah jawapannya :

1 – Handphone ( telefon bimbit ) merupakan salah-satu daripada keperluan manusia di zaman moden ini , khasnya bagi mereka yang sentiasa bermu’amalah ( berurusan ) dengan berbagai pihak , samalah dengan keperluan manusia kepada kereta . Oleh itu sudah tentu , handphone ini adalah barang yang bernilai dan perlu dijaga dengan baik , yang mana tidak sedikit manusia yang bingung dan “serabut kepala“ dek kehilangannya, hinggakan ianya juga boleh “mengusik-ngusik“ kekhusyukan sembahyang seseorang itu.

Tindakan seseorang yang meletakkan handphone di bahagian belakangnya adalah bertujuan untuk menjaganya , walaupun lebih baik kalau diletakkan di tempat yang lebih sesuai , itupun jika ianya ada.

Di sini kita menggunakan kaedah Fiqh “Semua perkara itu bergantung kepada tujuannya“ dan “Kesukaran hendaklah dihilangkan“, untuk menentukan hukum bagi permasalahan-permasalahan yang ditimbulkan.

Oleh itu , tindakan seseorang yang meletakkan handphonenya (yang tertera icon ataupun grafik kalimah-kalimah suci) di bahagian belakang seseorang – contohnya di poket belakangnya - TIDAKLAH DAPAT UNTUK DIKATAKAN BAHAWA DIA TELAH MENGHINA KALIMAH-KALIMAH SUCI TERSEBUT . Ini disebabkan tujuannya ialah : UNTUK MENGELAKKAN SEBARANG PERKARA YANG TIDAK DIINGINI BERLAKU KE ATAS HANDPHONENYA ~ Contohnya : Dicuri orang, tercicir ataupun seumpamanya.

Walaupun begitu, kita amat menggalakannya agar handphone seperti itu, diletakkan ditempat yang lebih sesuai sebagai mana yang telah dinyatakan – itupun jika ada ruang yang sesuai baginya – dan tindakan seseorang yang meletakkan handphone di belakangnya itu harus, selagi ianya tidak berniat untuk menghina kalimah-kalimah suci Islam.

2 – Manakala bagi permasalahan seseorang yang membawa masuk handphonenya ke dalam tandas , walhal tertera di skrin handphonenya itu kalimah-kalimah suci (tidak ditutup handphonenya itu sebelum memasuki tandas) maka PERLAKUAN SEPERTI ITU ADALAH TIDAK DIBENARKAN DI DALAM ISLAM . Kerana telah terang nas-nas yang menunjukkan bahawa Baginda Rasulullah s.a.w tidak akan memasuki tandas melainkan setelah ditanggalkan terlebih dahulu cincinnya yang mempunyai cop mohor yang bertulis: “Muhammadur RasululLah“ (Muhammad itu adalah utusan Allah) .

Samalah seseorang itu tidak boleh masuk ke dalam tandas dengan membawa masuk bersamanya mushaf Al-Quran Al-Karim, ataupun apa-apa yang mengandungi ayat-ayat suci seperti buku saku Al-Ma’atsurat, Himpunan Doa-Doa, Wirid-wirid dan seumpamanya (kecualilah di dalam keadaan dharurat) .

Kita menasihati umat Islam agar berlaku cermat dan berhati-hati menjaga kesucian ayat-ayat Al-Quran dan syiar-syiar kebesaran Islam . Dan kita menasihati agar umat Islam selalu ingat untuk mengelakkan kejadian seperti itu berlaku ke atas diri-diri mereka sendiri.

**************************************

PERMASALAHAN TAMBAHAN :

“ Bukankah handphone yang mengandungi icon @ logo @ paparan ayat-ayat suci itu tetap haram dibawa masuk ke dalam tandas, sekalipun ianya telah ditutup (tidak diaktifkan) kerana kalimah-kalimah suci itu tetap ada di dalam memori handphone @ sim card handphone tersebut ??? “.

Jawapannya : Kefahaman seperti ini adalah kefahaman yang beku dan totok yang tidak diakui oleh Islam itu sendiri. Kerana itulah Islam itu bukan sahaja perlu difahami nas-nasnya, bahkan tujuan-tujuannya juga perlu turut sama dititik-beratkan.

Kalaulah kiasan (analogy) seperti ini kita gunakan untuk memahami masalah tersebut, maka bagaimanakah pula dengan seorang yang menghafal Al-Quran, adakah haram selama-lamanya dia daripada memasuki tandas !!?? .

Bukankah seorang yang menghafal Al-Quran Al-Karim , ayat-ayat suci tersebut tetap ada di dalam ingatannya sekalipun tidak diucapkan (dilafazkan) ???.

Oleh itu, orang yang menghafal Al-Quran Al-Karim tidaklah ditegah oleh syarak untuk memasuki tandas, kerana yang ditegah ialah membaca @ menuturkan @ melafazkan @ mengucapkan Al-Quran Al-Karim ataupun ayat-ayat suci di dalam tandas, bukannya ingatan-ingatannya terhadap ayat-ayat suci itu yang ditegah syarak !!!.

Maka begitulah juga dengan sebuah handphone yang mempunyai grafik @ icon @ paparan ayat-ayat suci, jika ditutup ia, maka tiadalah ia. Samalah seperti ayat-ayat suci itu dengan tuannya (yang menghafalnya), jika tidak dituturkannya, maka tiadalah ia.

Kesimpulannya : Bagi seseorang yang mempunyai handphone yang mengandungi grafik @ icon @ paparan ayat-ayat suci di skrinnya (paparannya), hendaklah ditutup terlebih dahulu sebelum dibawa masuk ke dalam tandas, agar tidak berlakunya penghinaan ataupun perbuatan menyenda kesucian syiar-syiar kebesaran agama Islam.

**************************************

MASALAH BERBANGKIT :

“Bagaimana pula jika ada seseorang yang meletakkan ayat-ayat suci di bawah tapak kaki dengan beralasan dia tidak berniat untuk menghina ataupun mempersenda-sendakan ayat-ayat tersebut?“.

Jawapannya: Bukan semua perkara memerlukan niat (SILA RUJUK: SJ-1881: PERKARA-PERKARA YANG TIDAK MEMERLUKAN NIAT)

Lantaran itu, perbuatan seperti meletakkan ayat-ayat suci di bawah tapak kaki ataupun di bawah punggung , walaupun tidak dengan tujuan untuk menghinanya – sebagaimana yang didakwa – adalah tertolak dan tidak boleh dijadikan hujah ataupun keharusan untuk melakukannya !!!.

Apatah lagi perbuatan itu merupakan satu perbuatan penghinaan, yang sememangnya tidak memerlukan niat, ataupun melafazkannya sebagai pengkhabaran terhadap penghinaan itu, kerana perbuatan seperti itu sudah tidak dapat lagi untuk didolak-dalihkan (takwil) melainkan ianya adalah penghinaan terhadap ayat-ayat suci semata-mata !.

Samalah dengan mereka yang mengucapkan kalimah yang boleh menyebabkannya murtad, walaupun tanpa niat, ianya tetap menjadikannya sebagai kufur dan murtad. Ini disebabkan ulama’ Tauhid sendiri mengatakan: “Menceritakan hal kufur tidaklah menjadikan seseorang itu kufur, akan tetapi bertutur dengan kalimah yang kufur boleh menyebabkan seseorang itu menjadi kufur“ (رواية الكفر ليس بالكفر و إنما الكفر . القول بالكفر) !!! .

Samalah juga dengan mereka yang melakonkan watak sebagai seorang paderi , dengan memakai pakaian khas sang paderi , ditambah pula dengan mengalungkan rantai salib di tengkuknya. Dan begitulah dengan mereka yang berlakon sebagai seorang Sami Budha dengan memakai pakaian rasmi si sami. Ataupun lakonan seseorang Islam yang melakonkan watak menyembah patung-patung. Kesemuanya itu dan yang seumpama dengannya boleh menyebabkan seseorang itu murtad dan kufur (engkar dan kafir) kepada Allah Ta’ala !!! ~ Wal’iyadzu BilLahi Min Dzalik.

Pendek Kata : Perkara-perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu menjadi kufur , bukanlah satu perkara yang boleh dijadikan “ main-main “ ataupun “ senda-gurau “. Apatah lagi jika ianya dipandang sebagai perkara yang remeh-temah !!!.

Sila Rujuk juga jawapan kami di : SJ-1873: SEBAB-MUSABAB, TAQDIR & MASALAH MURTAD

Wallahu A’alam Bissowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad

و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

8 / Sya’aban / 1423 H
15/ September / 2002 M

Selasa – Bandaraya Kaherah

No comments: